Penjelasan tentang Akaun KWSP untuk pelaburan unit amanah:
1. Akaun mana yang terlibat dalam pelaburan saham amanah?
Akaun KWSP terdiri daripada Akaun (I) & (II) . Akaun (I) bahagiannya sebanyak 70% dan selebihnya adalah Akaun (II). Hanya Akaun (I) yang terlibat (layak) untuk pengeluaran pelaburan saham amanah.
2. Bagaimana untuk mengetahui jumlah pengeluaran pelaburan saham amanah yang dibenarkan?
Cara yang paling mudah ialah melalui i-Akaun di laman web www.kwsp.gov.my. Sebelum itu anda perlu create pin dahulu di cawangan KWSP
Kelayakan pengeluaran untuk pelaburan saham amanah dikira sebagai tidak melebihi 20% dari baki yang ditolak dari Simpanan Asas.
3. Apakah jumlah maksimum pengeluaran? Jawapan: Tiada.
4. Apakah jumlah minimum pengeluaran? Jawapan: RM1,000.
5. Bagaimanakah contoh pengiraan kelayakan?
En. XYZ berumur 30 tahun dan baki Akaun 1 beliau ialah RM60,000. Maka kelayakan pengeluaran beliau ialah 20% x (60,000-18,000) = RM8,400.
6. Bolehkan dividen/agihan/keuntungan dari pelaburan ini ditunaikan/digunakan oleh pelabur?
Tidak boleh. Sebarang agihan dari pelaburan ini akaun dimasukkan semula ke akaun pelaburan (compounding). Sekiranya pelabur membuat redeem, jumlah redeem akan dimasukkan semula ke akaun KWSP.
7. Memandangkan untung tidak boleh dikeluarkan, apakah faedah bagi saya membuat pelaburan saham amanah menggunakan Akaun 1 KWSP?
KWSP membenarkan pengeluaran dengan peraturan Simpanan Asas yang baru dibawah kempen “Bukan Hanya Simpanan”. Jadi dapat disimpulkan KWSP menggalakkan ahlinya mencari alternatif lain melaburkan wang simpanan mereka ke tempat yang telah diluluskan seperti saham amanah. Objektif asal simpanan KWSP untuk simpanan hari tua masih terpelihara, tetapi dalam bentuk pelaburan. Selain itu, KWSP memberi peluang kepada pencarumnya untuk memilih sendiri tempat pelaburan dengan keuntungan yang mungkin lebih baik. Untung dari pelaburan Akaun 1 ini boleh digunakan selepas umur layak iaitu 55 tahun.
8. Bagaimana prestasi KWSP berbanding saham amanah?
Prestasi KWSP berbagai-bagai, contohnya pada tahun 2008 dividen yang diperolehi ialah 4.5%. KWSP dijamin oleh kerajaan dan modal pencarum sudah tentunya dilindungi. Bagi saham amanah, prestasi mereka bergantung kepada ekonomi semasa. Agihan yang ditawarkan mungkin lebih tinggi, sesuai tanpa perlindungan modal.
9. Bolehkah saya melabur dari Akaun 1 setiap bulan?
Pengeluaran Akaun 1 hanya dibenarkan untuk 1 dalam tempoh 3 bulan.
Meningkatkan simpanan persaraan : KWSP
perkenal perubahan kadar caruman dan simpanan asas
Peluang dan pasaran di dalam unit amanah semakin besar dan berkembang, Ianya adalah sejajar dengan inspirasi kerajaan untuk membantu ahli KWSP untuk meningkatkan tabungan ahli selepas persaraan. Kini terpulang kepada ahli KWSP untuk menzahirkan segala perancangan dan inisiatif yang diwujudkan. Jangan lepaskan peluang untuk meningkatkan tabungan hari tua kita melalui pelaburan UNIT AMANAH.
–Berikut adalah kenyataan akhbar dari KWSP (bertarikh: 25Jan2008)—
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan dua pembaharuan di bawah inisiatif "Bukan Hanya Simpanan" bagi memberikan peluang kepada ahli berumur 55 tahun dan ke atas terus bekerja serta meningkatkan simpanan persaraan ahli.
Berkuatkuasa 1 Februari 2008, tempoh tanggungan mencarum kepada KWSP untuk pekerja dan majikan dilanjutkan dari umur 55 tahun kepada 75 tahun. Selain itu, ahli perlu mempunyai amaun minimum Simpanan Asas mengikut tahap umur bagi membantu ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM120,000 apabila mencapai umur 55 tahun.
"KWSP sentiasa memberikan keutamaan agar ahli mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara. KWSP berharap dengan pembaharuan ini akan membantu ahli mempunyai jumlah simpanan yang lebih tinggi bagi persaraan yang lebih terjamin," kata Encik Ibrahim Taib, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP.
Untuk pekerja berumur 55 tahun dan ke atas diwajibkan mencarum tetapi kadarnya adalah separuh daripada kadar caruman berkanun bagi menggalakkan ahli terus diambil bekerja. Bagaimanapun, pekerja dan majikan boleh memilih untuk mencarum lebih daripada kadar caruman berkanun yang ditetapkan.
Bagaimanapun, kadar caruman yang lebih rendah ini tidak terpakai kepada pekerja yang telah berumur lebih 55 tahun yang kini masih bekerja dan belum membuat Pengeluaran 55 Tahun. Pekerja ini dan majikannya perlu mencarum pada kadar semasa (23 peratus) sehingga Pengeluaran 55 Tahun dibuat.
Satu lagi pembaharuan di bawah inisiatif "Bukan Hanya Simpanan" adalah pelaksanaan Simpanan Asas iaitu sejumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan minimum RM120,000 ketika umur 55 tahun .
Dengan pembaharuan ini, ahli dibenarkan melabur tidak lebih dari 20 peratus daripada simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas menerusi institusi pelaburan yang diluluskan. Pelaburan ini boleh dibuat sekali setiap tiga bulan dengan jumlah minimum RM1,000.
"Objektif pembaharuan ini adalah untuk membantu ahli meningkatkan simpanan asas dalam akaun mereka secara berterusan sehingga mencapai jumlah minimum RM120,000 pada umur 55 tahun. Ini bagi membolehkan ahli menerima bayaran sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk tempoh 20 tahun sehingga umur 75 tahun iaitu purata jangka hayat rakyat Malaysia," kata Encik Ibrahim.
Menurut beliau, pada masa yang sama pembaharuan ini memberikan peluang kepada ahli untuk melabur pada umur lebih muda yang boleh mengurangkan risiko kerugian modal berikutan tempoh pelaburan yang lebih panjang.
"Jumlah Simpanan Asas untuk setiap peringkat umur akan dikaji semula setiap lima tahun dengan mengambil kira perubahan sosial, ekonomi dan keperluan persaraan ahli," kata beliau.
BIASANYA dalam interaksi antara perunding saham amanah dan pelabur, hanya perunding saham amanah yang banyak bercakap, manakala pelabur lebih banyak mendengar.Tidak banyak soalan yang relevan ditanyakan oleh pelabur kecuali soalan lazim - “berapa banyak dividen akan diberikan oleh saham amanah ini?” atau “apakah jumlah minimum untuk memulakan pelaburan?”.Tetapi untuk memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pelaburan saham amanah, anda mestilah bersedia untuk bertanya banyak soalan.Jawapan yang anda peroleh daripada perunding saham amanah itu boleh membantu anda menentukan sama ada melabur dalam saham amanah yang ditawarkan itu bersesuaian dengan matlamat pelaburan anda.Ini juga dapat mengelakkan anda daripada melabur dalam produk saham amanah yang tidak bersesuaian tetapi dipromosikan secara berlebih-lebihan oleh perunding saham amanah kerana dia mendapat komisen yang tinggi daripada penjualannya.Antara soalan cadangan yang anda patut tanyakan kepada perunding saham amanah anda.Adakah saham amanah ini berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC)?Semua produk saham amanah mestilah didaftarkan dengan SC. Untuk memastikan produk pelaburan itu didaftarkan dengan SC, hubungi 03-62048000 dan minta disambungkan kepada Jabatan Tabung Saham Amanah dan Pengurusan Pelaburan atau lawati laman web SC di www.sc.com.my Berapa lama syarikat saham amanah itu sudah beroperasi? Apakah rekod atau prestasi syarikat itu dalam memberikan pulangan yang dijanjikan? Pelabur perlu memeriksa latar belakang sesebuah syarikat saham amanah, termasuk syarikat yang akan menguruskan dana berkenaan (jika dana itu diuruskan oleh pengurus dana luar). Cari maklumat mengenai rekod prestasi dan pengalaman mereka. Anda mesti berusaha untuk mengenali mereka yang diamanahkan bagi mengendalikan wang hasil titik peluh anda.Adakah dana itu bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan profil risiko anda? Sebelum anda bertanyakan soalan ini, anda mesti mengetahui dan yakin mengenai matlamat pelaburan anda dan berapa banyak risiko pelaburan yang anda mampu tanggung (risiko pelaburan pada umumnya adalah keadaan yang mungkin berlaku dan menyebabkan anda menanggung kerugian). Sekarang ini, ada banyak jenis dana di pasaran, setiap satu dengan manfaat dan risiko tersendiri (Lebih tinggi pulangan yang dijanjikan, lebih tinggi risiko yang terpaksa ditanggung). Justeru, penting bagi anda memahami dana yang ditawarkan dan memilih dana yang benar-benar bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan kesanggupan anda menghadapi risiko. Misalnya, jika anda mahu pendapatan yang konsisten, anda perlu melabur dalam dana yang menyediakan pulangan konsisten. Anda tidak seharusnya membiarkan diri dipaksa oleh mana-mana perunding saham amanah untuk melabur dalam dana yang tidak bersesuaian dengan anda. Apa yang berlaku kepada wang yang dilaburkan dalam dana berkenaan? Di manakah wang itu akan dilaburkan? Setiap dana saham amanah mempunyai strategi pelaburannya sendiri untuk memenuhi matlamat pelaburan. Contohnya, bagi dana ekuiti, pada umumnya, kebanyakan daripada aset itu dilaburkan dalam ekuiti syarikat tersenarai di bursa saham yang berpotensi untuk berkembang dan bukan syarikat saham mewah yang menawarkan dividen yang konsisten. Sebaliknya, dana bon akan melaburkan kebanyakan dananya dalam produk bon yang berisiko rendah.Amat penting bagi pelabur mengetahui bahawa dalam produk pelaburan yang manakah dana itu akan melabur, kerana ini mempunyai implikasi terus ke atas tahap toleransi risiko pelabur. Jika dana itu melabur dalam produk berisiko tinggi, saham amanah itu sendiri akan menjadi pelaburan berisiko tinggi. Bagaimana hendak mengetahui bahawa dana yang anda laburkan itu berkeadaan baik? Bagaimana hendak membandingkannya dengan dana yang lain? Setiap dana mempunyai ukur rujuknya sendiri (sesuatu yang anda boleh jadikan ukuran prestasi), yang dinyatakan dalam prospektus. Anda boleh membandingkan kadar pulangan anda dengan ukur rujuk atau penanda aras berkenaan. Ukur rujuk yang biasa bagi dana ialah Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) manakala bagi dana bon, biasanya adalah pada kadar purata 12-bulan deposit tetap bank.Selain itu, anda boleh membandingkan dana anda dengan dana lain yang mempunyai kriteria sama. Contohnya, jika anda melabur dalam dana bon, bandingkan prestasinya dengan dana bon yang lain. Saham amanah yang lebih kompleks mungkin mempunyai ukur rujuk yang lebih kompleks. Bagaimana anda boleh membuat keuntungan daripada dana itu? Untung modal atau dividen? Jika anda melabur dalam saham amanah, pulangan anda mungkin dalam bentuk keuntungan modal (jika pergerakan harga unit memuaskan) atau dividen (jika syarikat pengurusan mengumumkan ada bayaran dividen). Pastikan perunding saham amanah anda memberikan penerangan mengenai perkara ini dan baca prospektus. Adakah anda perlu membayar sebarang bayaran atau caj? Setiap pelaburan mempunyai kos, begitu juga pelaburan dalam saham amanah. Syarikat pengurusan saham amanah mungkin mengenakan caj pengagihan/transaksi seperti caj jualan dan/atau caj penebusan apabila anda membeli dan menjual unit dan mengenakan bayaran pengurusan dan bayaran pemegang amanah setiap tahun bagi perkhidmatan yang mereka sediakan. Perunding saham amanah anda mesti menjelaskan semua itu kepada anda. Baca prospektus untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bayaran dan caj.Jika anda mengubah fikiran selepas melabur dalam sesuatu dana, bolehkan anda menjualkannya semula kepada syarikat itu dan mendapat bayaran balik sepenuhnya? Pelabur diberikan ‘tempoh bertenang’ iaitu masa yang diberikan kepada pelabur bagi memikirkan semula sama ada mereka mahu meneruskan pelaburan dalam saham amanah itu atau pun tidak. Tertakluk kepada syarat, pelabur saham amanah berhak mendapat bayaran balik sepenuhnya jika dia memutuskan untuk tidak meneruskan pelaburan dalam dana berkenaan dalam masa ‘tempoh bertenang’. ‘Tempoh bertenang’ adalah hak anda. Keterangan lanjut mengenai ‘tempoh bertenang’ ada dinyatakan dalam prospektus.Jika anda mahukan wang anda semula dengan segera, mudahkah untuk menjual kembali dana berkenaan? Berapa lama mesti menunggu sebelum boleh mendapatkan wang itu semula?Saham amanah adalah pelaburan yang mudah dijual beli. Anda boleh berjumpa dengan perunding saham amanah anda dan menyerahkan notis penebusan bagi menebus kembali unit anda dan mendapatkan wang kembali. Penting bagi anda mengetahui bila anda akan mendapat semula wang anda supaya anda lebih bersedia sekiranya anda memerlukan wang itu dengan segera. Tanyakan kepada perunding saham amanah anda. Butiran lanjut mengenai penebusan boleh didapati dalam prospektus. Adakah anda akan mendapat apa-apa penyata berkaitan dengan status pelaburan daripada syarikat pengurusan? Proses pemantauan anda akan menjadi lebih mudah jika anda menerima penyata daripada syarikat pengurusan berkaitan status pelaburan anda. Dapatkan penjelasan mengenai pelaburan anda melalui penyata pelaburan daripada syarikat pengurusan amanah saham anda. Anda mesti memantau pelaburan anda. Di mana anda boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai dana berkenaan? Kebanyakan maklumat mengenai sesuatu dana saham amanah terdapat dalam prospektus dan laporan tahunannya. mintalah prospektus itu daripada perunding saham amanah anda dan bacalah sebelum melabur. Sumber: Pusat Perkembangan Industri Sekuriti SC.
APA ITU DANA UNIT AMANAH ?
Unit Amanah merupakan suatu alat pelaburan kolektif, di mana modal para pelabur dikumpulkan ke dalam satu dana untuk diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Dana tersebut akan dilaburkan didalam pelbagai portfolio ekuiti, sekuriti pendapatan tetap dan aset-aset lain yang dibenarkan oleh surat ikatan di samping Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti (SC) keatas Dana Unit Amanah.BAGAIMANA UNIT AMANAH BERFUNGSI
Unit amanah membabitkan penglibatan tiga pihak iaitu Pemegang Unit / Pelabur yang melabur dalam sesuatu dana amanah, Pemegang Amanah yang bertindak sebagai badan bebas dan penjaga aset yang dilabur dan Syarikat Pengurusan yang menyediakan kepakaran teknikal untuk menguruskan dana berkenaan.
Operasi sesuatu skim unit amanah itu ditadbirkan oleh satu dokumen perundangan yang dipanggil Surat Ikatan. Ia menyatakan tentang hak dan tanggungjawab Pengurus dan Pemegang Amanah serta hak Pemegang Unit. Ia juga menyatakan secara terperinci bagaimana unit amanah itu harus beroperasi dan diuruskan serta bagaimana menentukan kadar bayaran yuran.
Dengan pertalian sedemikian kita dapat simpulkan yang unit amanah direka bentuk bagi melindungi kepentingan para pelaburnya tidak seperti pelaburan saham biasa ataupun komoditi.
BAGAIMANA PELABUR MENDAPAT UNTUNG?
Ada dua cara utama pelabur mendapat keuntungan iaitu melalui pertumbuhan modal dan menjana dividen. Pertumbuhan modal berlaku apabila nilai porfolio meningkat diikuti kenaikan nilai unit, dan kita akan mendapat untung jika kita menjual unit tersebut pada harga yang lebih tinggi daripada harga semasa dibeli. Sebaliknya jika nilai porfolio menurun maka nilai unit juga menurun. Ini tidak bermakna kita sudah rugi kerana ada peluang bagi harga unit naik semula. Kadangkala ia bergantung pada strategi pelaburan seseorang. Kejatuhan harga dianggap kebaikan kerana dapat membeli lebih banyak unit lagi.
Apabila dana mempunyai pendapatan hasil daripada pelaburan sekuriti yang dibuat, maka pendapatan dana ini diagih kepada pemegang unit menerusi dividen. Jika dana itu hanya berjaya menghasilkan pendapatan yang kecil ataupun tiada keuntungan, dana ini tidak mengeluarkan dividen. Jadi, para pelabur perlu faham, dividen bukanlah kewajipan tetapi sebaliknya bergantung pada kemampuan syarikat pengurusan unit amanah sentiasa berusaha supaya para pelabur menikmati dividen pada setiap tahun. Tetapi, tidak semestinya dividen itu dibayar dalam bentuk tunai, mungkin dalam bentuk unit tambahan.
MENGAPA PERLU MELABUR DALAM UNIT AMANAH?
Secara umumnya, unit amanah sesuai untuk pelabur yang tidak mempunyai masa atau peluang untuk melabur dan memantau prestasi pelaburan mereka secara kerap dan tetap. Melalui dana-dana yang disediakan, mereka mempunyai pilihan pelaburan yang lebih luas (untuk tujuan kepelbagaian pelaburan) dan, yang lebih penting, pengurus-pengurus profesional akan menguruskan dana-dana bagi pihak mereka.
Melabur dalam unit amanah adalah satu cara yang terbaik dan ideal untuk mendapatkan pulangan yang baik dalam jangka sederhana dan panjang berbanding simpanan tunai atau simpanan tetap (fixed deposit). Di samping itu, risiko juga adalah kurang berbanding melabur terus dalam saham atau bon, yang mana hanya boleh diperoleh melalui kepelbagaian portfolio yang benar-benar baik.
KELEBIHAN MELABUR DALAM UNIT AMANAH
1. Pengurusan Dana Profesional
Pelaburan di dalam dana unit amanah diurus selia oleh pengurus dana profesional yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai ekonomi dan penyelidikan korporat dan mengenalpasti pelaburan yang berpotensi. Mereka mempunyai akses kepada pelbagai bahan-bahan ekonomi dan penyelidikan korporat.
2. Mempelbagai Peluang
Pelaburan di dalam dana unit amanah menyediakan peluang untuk melebarkan portfolio pelaburan melalui pelbagai jenis saham dan terbitan walaupun dengan modal yang kecil.
3. Memudahkan Transaksi
Menyediakan para pelabur dengan kaedah yang lebih mudah, lebih selesa dan bebas dari kerumitan untuk melakukan pelaburan saham berbanding memegang portfolio sendiri di pasaran saham.
4. Meminimakan Risiko
Mempelbagaikan portfolio melebarkan pendedahan para pelabur daripada risiko, menerusi keluasan portfolio saham dan derivatif, yang mana menawarkan pelbagai jenis risiko yang berbeza.
5. Kecairan
Pemegang unit boleh mencairkan kesemua atau sebahagian daripada unit-unit mereka pada bila-bila masa sepanjang hari perniagaan tanpa sebarang kesukaran.
6. Potensi Pertumbuhan Modal
Di dalam jangka panjang, pada amnya potensi pulangan melalui pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan adalah lebih tinggi berbanding simpanan di bank-bank. Oleh itu, pelaburan dalam unit amanah boleh digunakan untuk keperluan masa depan seperti pendidikan anak-anak, persaraan atau menunaikan umrah dan sebagainya mengikut keperluan masing-masing.
PERBANDINGAN DENGAN PELABURAN SAHAM & SIMPANAN DI BANK
a. Pelaburan Unit Amanah dan Pelaburan Saham
Secara umumnya, pelaburan saham dapat memberikan pulangan terbaik dalam tempoh jangkamasa panjang tetapi disebabkan harganya boleh turun naik terutamanya dalam jangkamasa singkat, ia dianggap sebagai pelaburan yang berisiko. Manakala, bagi pelaburan di dalam unit amanah, risiko telah dikurangkan disebabkan oleh pelbagaian pelaburan.
b. Pelaburan Unit Amanah dan Deposit di Bank
Bagi deposit di bank pula ianya tidak berubah daripada segi nilainya tetapi pulangannya lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan unit amanah yang mana walaupun mempunyai risiko, tetapi dikurangkan dengan pelbagaian pelaburan yang baik.
Potensi pulangan pelaburan kita dapat ditingkatkan dengan mempraktikkan strategi Pemurataan Nilai Kos Ringgit (Dollar cost Averaging). Kaedah ini (DCA) dapat menyelesaikan masalah dalam menentukan masa yang tepat untuk membuat pelaburan dengan mengambil kira risiko keadaan semasa pasaran.Kita boleh membuat pelaburan dalam jumlah yang tetap setiap bulan atau melabur secara berkala dan berterusan. Dalam tempoh jangkamasa panjang, kita berpotensi mendapat manafaat daripada pengurangan kos belian keseluruhan pelaburan serta berpeluang meningkatkan potensi pulangan pelaburan. Ingat bahawa tujuan pelaburan didalam unit amanah adalah untuk jangkamasa sederhana/Panjang.Amalan ini (DCA) digunapakai oleh kebanyakkan pemegang unit amanah dalam meminimakan risiko berkaitan pelaburan yang besar pada sesuatu masa.
Pasaran global semasa mempengaruhi kejatuhan indeks pasaran saham sedunia. kebanyakkan indeks serantau menyusut dibawah paras terendah didalam tempoh 52 minggu.Jualan Unit Amanah juga teruja dengan keadaan semasa dimana jualannya merosot seiring dengan kejatuhan besar didalam pasaran.Pelabur terkenal Warren Buffet, dalam artikelnya baru – baru ini yang bertajuk “Buy America, I Am” yang diterbitkan pada 16 Oktober 2008 dalam New York Time, mengatakan yang berikut ketika menerangkan mengapa beliau mula melabur dengan banyak dalam saham ketika pasaran merosot baru-baru ini:Saya membeli saham mengikut satu peraturan mudah:“Rasa takut apabila orang lain bersikap tamak , bersikap tamak apabila orang lain berasa takut.”
Tentukan toleransi risiko anda sebelum melabur
Pelaburan saham bukan untuk semua orang. Bagi sesetengah orang, mereka tidak tenteram apabila harga saham yang mereka beli turun naik di pasaran. Justeru, sebelum anda membuat keputusan untuk melabur, tentukan sama ada pelaburan saham sesuai untuk anda.
Setiap jenis pelaburan ada risiko, termasuk tabungan di dalam bank. Jangan sangka wang anda pasti selamat dalam bank, kerana seperti yang dilihat di negara-negara lain, bank boleh jatuh muflis. Memang insurans deposit diberikan oleh PIDM, tetapi jumlahnya terhad. Jadi risiko tetap ada. Maka apabila menguruskan wang anda, perkara paling penting ialah menentukan risiko yang sanggup anda tanggung,
Berikut adalah beberapa kaedah simpanan dan pelaburan dan risiko yang dihadapi:
1) ASB - Risiko dana mengalami kerugian dan kerajaan tidak dapat menampung kerugian tersebut (kemungkinan besar tidak berlaku tetapi risiko tetap ada).
2) Bank - Risiko bank muflis dan tidak dapat membayar pendeposit.
3) Hartanah - Risiko nilai hartanah jatuh, atau risiko tanah mendap, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya (namun sesetengah daripada risiko ini boleh dilindungi insurans)
4) Bon atau Sukuk - Risiko pengeluar sukuk atau bon gagal membayar
5) Saham - Risiko harga saham turun, syarikat jatuh muflis atau digantung penyenaraian
6) Waran saham - Risiko harga saham asas jatuh, menyebabkan harga laksana lebih tinggi daripada harga saham asas
7) Derivatif / Forex - Risiko anda membuat unjuran yang tidak tepat, menyebabkan kerugian
Justeru setiap jenis pelaburan ada risikonya. Cuma tahapnya berbeza-beza. Daripada senarai di atas, pelaburan disusun mengikut tahap risiko daripada yang paling rendah kepada yang paling tinggi.
Jika anda tidak sanggup menanggung risiko, tak perlulah melabur dalam instrumen yang lebih tinggi risikonya seperti bon, saham dan waran saham. Lebih baik simpan sahaja dalam bank. Namun begitu, potensi pulangan yang anda terima juga terhad. Bagi instrumen yang lebih tinggi risikonya, potensi pulangan juga lebih tinggi.
Justeru, terpulang kepada anda untuk menentukan toleransi risiko anda dan memilih pelaburan yang sesuai untuk anda.
Nota: Buku Panduan Bijak Melabur ada mengandungi satu bab yang menerangkan lebih lanjut tentang risiko saham dan pasaran saham.