Friday, May 15, 2009

Ke Mana Hala Tuju Pasaran?

Pakar Memberikan Pendapat Yang Berbeza...

Ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat dan juga dalam jangka panjang. Ini kerana pasaran saham telah mula naik dan ramai yang takut bahawa mereka akan terlepas peluang mengaut untung.

Sepertimana pendapat ramai dari kalangan pakar penganalisis ekonomi mengatakan bahawa kita tidak harus panik apabila saham jatuh dan menganggapnya sebagai peluang keemasan. Malah kegawatan ialah peluang terbaik untuk mencari untung.

Namun begitu, memandangkan kenaikan pasaran sejak sebulan lepas, adakah sudah tiba masanya untuk pelabur berlumba-lumba memasuki pasaran?

Pandangan saya ialah jangan terburu-buru, tinjau dulu pandangan pakar tentang pasaran semasa.

Nouriel Roubini - Beliaulah antara segelintir pakar yang meramalkan kejatuhan pasaran dan kegawatan serius akan berlaku, sebelum orang lain menyedarinya. Pada pandangan Roubini, kenaikan saham sekarang dianggap sebagai 'dead cat bounce' kerana ekonomi belum pulih sepenuhnya. Pemulihan dijangka amat perlahan dan kenaikan sekarang terlalu cepat dan tidak disokong oleh data ekonomi.

Marc Faber - Dikenali sebagai "doctor doom", tetapi beliau berpendapat situasi paling buruk telah berlaku. Walaupun meramalkan volatiliti tetap tinggi dan saham akan jatuh buat seketika, beliau berpendapat pasaran akan mula naik dengan ketara pada hujung tahun ini.

Tang Teng Boo - Pemilik iCapital, dana tertutup yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan seorang pakar yang pandangannya sangat dihormati di Malaysia. Beliau menganggap fasa kenaikan saham telah bermula dan sesiapa yang tidak mula melabur sekarang akan terlepas peluang keemasan.

Mohammed Rashdan Yusof - CEO Maybank Investment Bank berpendapat kenaikan pasaran semasa terlalu tinggi kerana ekonomi masih belum pulih lagi. Akibatnya pelabur dijangka mengambil untung dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, berasaskan apa yang saya baca, ada sesetengah pengurus dana sedang mengurangkan pendedahan mereka kepada saham buat masa ini dengan menjual kerana harga telah naik sejak sebulan lepas, sedangkan ada pula yang sibuk membeli saham, meramalkan bahawa harga saham akan terus naik lagi menjelang akhir tahun.

Justeru kita dapat melihat dua pandangan berbeza. Sebab itulah anda tidak harus terburu-buru untuk mengejar saham sekarang sekiranya sudah terlepas peluang membeli semasa saham berada di tahap terendah antara Oktober - Januari.

Pada pandangan saya, pemulihan akan tetap berlaku dan akan dilihat tidak lama lagi. Saham akan turun naik sehingga akhir tahun dan jika ia turun inilah peluang baik bagi kita untuk membeli dengan matlamat untuk menyimpannya dalam jangka panjang bagi mengambil kesempatan daripada pemulihan yang berlaku sepanjang tempoh satu hingga lima tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment